Kawasan Rekreasi Dan Pelancongan
Rumah Tepian Sawah
Pemandangan di sepanjang jalan Kampung Tambun Tulang dikelilingi oleh hamparan sawah padi yang terbentang luas. Rumah-rumah penduduk dibina berhadapan dengan kawasan penanaman sawah padi.
Taman Rekreasi Cempaka Puteh
Taman Cempaka Putih yang dibina di belakang Kolej Komuniti Arau mempunyai sebuah padang bola sepak. Hampir setiap petang golongan belia dan kanak-kanak akan berkumpul untuk bermain bola sepak. Malah, penghuni kolej sendiri menggunakan padang tersebut untuk melakukan aktiviti riadah sesama mereka. Kawasan Sungai Tambun Tulang turut menjadi tumpuan belia-belia kampung melakukan pelbagai aktiviti antaranya aktiviti memancing. Malah terdapat juga aktiviti berkayak yang dilakukan oleh penduduk kampung bagi mereka yang mewakili pertandingan sukan air. Pada setiap petang mereka akan melakukan latihan untuk memantapkan lagi stamina. Golongan belia wanita turut sama beriadah. Mereka berjoging di sepanjang jalan kampung. Bagi kanak-kanak pula, mereka menggunakan taman permainan yang terletak di Taman Cempaka Putih untuk bermain. Kemudahan tempat permainan ini memudahkan ibu bapa memerhatikan anak masing-masing berikutan ianya berada di kawasan yang tidak sibuk dengan kenderaan.
Kedai makanan
Di Tambun Tulang terdapat banyak kedai makan yang menyediakan pelbagai jenis makanan. Ada gerai makanan yang menyediakan makanan untuk sarapan pagi,makanan tengah hari sehinggalah makanan dijual untuk petang hari. Antara menu yang sedap adalah Gerai Sup Thai dan juga Nasi Kandar Abah dan Umi.
Kelab Kayak
Menurut Ismail Ahmad iaitu Setiausaha Persatuan Kenu Perlis, setiap petang golongan belia kampung akan melakukan aktiviti berkayak di Sungai Tambun Tulang. Malah terdapat juga antara mereka yang memasuki pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan juga Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA. Golongan ini mendapat tunjuk ajar daripada Ismail sebelum memulakan aktiviti berkayak. Tidak hairanlah sekiranya setiap tahun Kampung Tambun Tulang menganjurkan sukan air. Aktiviti yang dilakukan setiap hari ini bermula dari jam 5.00 petang hingga 7.00 malam.