Pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad
Pada 13hb. Mei 1968 sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis , Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail.
Pada tahun 1980 status SMKSA sebagai Sekolah Menengah Rendah Tambun Tulang berakhir dengan kewujudan kelas tingkatan 4 Sastera. SMKSA diasaskan pada 1hb. Januari 1965.Terletak di kawasan Tambun Tulang di bahagian selatan Negeri Perlis. Jauhnya 17.5 kilometer dari Bandar Kangar dan seluas 7 ekar atau 11 relong. SMKSA pada asasnya ialah sebuah sekolah Sekolah Menengah Aneka Jurusan Aliran Melayu. Ia dikenali sebagai Sekolah Menengah Rendah Tambun Tulang. Di peringkat awal penubuhannya sekolah ini hanya menumpang di Sekolah Rendah Tambun Tulang dan persekolahannya dijalankan pada waktu petang. Hanya terdapat dua kelas tingkatan satu dengan jumlah pelajar 75 orang sahaja. Sekolah Menengah Rendah Tambun Tulang dan Sekolah Rendah Tambun Tulang pada masa itu ditadbir oleh seorang Guru Besar sahaja. Sekolah Menengah Rendah Tambun Tulang kemudiannya ditukar nama kepada Sekolah Menengah Syed Ahmad bersempena nama Raja Perlis yang kedua iaitu Al-Marhum Tuanku Syed Ahmad Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail. Nama ini dipersetujui dalam satu mesyuarat Ahli-ahli Jawatankuasa Sekolah Menengah Rendah Tambun Tulang dengan wakil rakyat Arau.
Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang
Sekolah Kebangsaan Tambun atau nama ringkasnya SK Tambun,merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Tulang Km 7, Jalan Bn. Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Tambun memiliki 255 pelajar lelaki dan 234 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 489 orang. Ia mempunyai seramai 35 orang guru.
Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Budriah
Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1959 oleh Yang Mulia Tuan Syed Darus bin Syed Hashim (Bekas Wakil Rakyat Kawasan Utan Aji) bersama dengan Allahyarham Dato' Jaafar Bin Hassan ( Bekas Menteri Besar Perlis) serta ahli jawatankuasa kecil penduduk tempatan. Tahun 1959 – Sebuah kelas sementara ditubuhkan di rumah Encik Saad bin Mat di Kampung Mua dengan tiga orang guru terdiri daripada Encik Mat Zain bin Mat, Encik Ahmad bin Othman dan Encik Salleh bin Akob. Tahun 1963 – Sebuah bangunan kayu siap dibina oleh kerajaan di Kg. Chemumar. Seramai 120 orang murid dari Darjah 1 – Darjah 4 dan mengandungi 4 kelas. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan KampungChemumar. Tahun 1977 – Sekolah ini mendapat bangunan baru dua tingkat mengandungi 6 bilik, bilik Guru Besar, Pejabat serta Kantin Sekolah. Sekolah ini ditukar dengan nama SK Raja (P) Budriah. Tahun 2010 – Bangunan sekolah ditambah dengan bangunan baru 4 tingkat yang mengandungi 6 kelas dan bilik-bilik khas termasuk Pejabat, Bilik Guru Penolong Kanan, Perpustakaan dan lain-lain lagi dan mula digunakan sepenuhnya pada tahun 2011.
Kolej Komuniti Arau
Kolej Komuniti Arau, Perlis (KKAP) mula ditubuhkan pada 12 Jun 2001 dengan menjalankan 2 Kursus Sepenuh Masa iaitu Sijil Pelukis Pelan Senibina dan Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan Dan Perkhidmatan). Pada awal penubuhan, Kolej Komuniti Arau, Perlis menumpang di Sekolah Menengah Teknik Arau, Perlis sementara menantikan kampus tetap di Tambun Tulang, Arau, Perlis untuk siap. Pada bulan November 2005 Kolej Komuniti Arau, Perlis telah berpindah ke kampus tetap di Tambun Tulang, Arau, Perlis dan menjalankan 3 lagi Kursus Sepenuh Masa iaitu Sijil Komputer Dan Sokongan , Sijil Fesyen Dan Pakaian dan Sijil Pemprosesan Dan Kawalan Mutu Makanan. Pada Julai 2007, Kolej Komuniti Arau, Perlis menawarkan Kursus Diploma Teknologi Elektrik untuk pelajar kolej komuniti lulusan Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan Dan Perkhidmatan). Bagi memenuhi keperluan fizikal program Diploma dan Kursus Pendek, Kolej Komuniti Arau, Perlis kini telah menyewa tiga premis rumah kedai yang diubahsuai memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran. Premis yang telah disewa bemula dari Julai 2009 ini terletak di Jejawi Arau, Perlis. Lebih kurang 7 kilometer dari kampus utama melalui Jalan UMNO, Longboh. Secara keseluruhannya Kolej Komuniti Arau, Perlis sehingga tahun 2010 masih lagi menawarkan lima program sepenuh masa di peringkat Sijil, program Diploma tidak lagi ditawarkan dan digantikan dengan Sijil Modular Kebangsaan (SMK) iaitu Pemasangan Elektrik (PE) dan akan dikuti dengan kursus-kursus yang lain selepas ini iaitu selaras dengan saranan Kerajaan bagi mengukuhkan lagi Kolej Komuniti. Kursus-kursus pendek masih lagi ditawarkan dalam pelbagai bidang untuk seluruh lapisan masyarakat di negeri Perlis khususnya dan seluruh warga Malaysia amnya.
Taska Permata Tambun Tulang
Program PERMATA PINTAR adalah antara insiatif yang diperkenalkan oleh PERMATA bagi mengenalpasti dan membangunkan kanak-kanak yang berbakat besar dan semulajadi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, seterusnya menjadi modal insan yang membantu negara mencapai status maju menjelang 2020.Permata Tambun Tulang mempunyai dua guru yang mengajar iaitu Teacher Zaty dan Teacher Nana.